Friday, May 25, 2007

PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA KEPADA WANITA

Sebelum kedatangan Islam, wanita dianggap sebagai golongan yang hina dan bertaraf rendah. Nilai dan harga diri wanita kepada keluarga dan masyarakat sangat rendah. Justeru itu mereka tidak dihormati malah telah diperlakukan dengan sesuka hati dan sewenang-wenangnya.
Di zaman Jahiliah, layanan yang diberikan kepada kaum wanita sangat buruk. Mereka diperlakukan sewenang-wenangnya seperti disuruh bekerja keras mencari nafkah keluarga dan boleh dicampuri dengan sesuka hati.Wanita juga tidak mendapat hak pewarisan terhadap harta pusaka keluarga. Seorang anak perempuan tidak boleh mewarisi harta pusaka keluarganya. Begitu juga seorang isteri tidak boleh mewarisi harta pusaka suaminya.

Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kedudukan wanita. Islam telah mengangkat martabat dan meninggikan taraf yang sewajarnya kepada mereka. Terutama dalam hubungan antara anak dengan ibu bapanya, Rasulullah s.a.w. menyuruh seseorang anak supaya memuliakan ibunya dahulu sehingga ada hadis yang menyatakan bahawa syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu.

Manakala dalam pembahagian harta pusaka kepada golongan wanita, Islam menetapkan bahawa dalam apa jua keadaan, mereka yang berhak khususnya wanita tetap mendapat bahagian harta pusakanya.

Pusaka atau faraid merupakan suatu ilmu tentang pembahagian harta seseorang yang telah mati. Dalam Islam pembahagian harta pusaka adalah berasaskan kepada susunan keluarga yang bersifat keibubapaan menyeluruh yang mengakui hak bahagian pusaka anggota keluarga dari ke dua-dua belah pihak lelaki dan perempuan dari sedekat-dekat hingga sejauh-jauhnya yang ada pertalian darah dan perkahwinan.

Prinsip ini bermakna pewaris dari pihak perempuan sama ada dari pihak ibu atau bapa diakui bahagian masing-masing dalam pembahagian harta pusaka. Allah s.w.t. menjelaskan dalam surah an-Nisa’ ayat 7 yang bermaksud;
“Untuk orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya dan bagi orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kaum kerabatnya”

Berpandukan kepada nas al-Quran dan Hadis, para ulama telah mengenal pasti pewaris perempuan yang berhak menerima harta pusaka seperti berikut iaitu isteri, ibu, ibu kepada ibu bapa (nenek), anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan), anak perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa (adik-beradik perempuan) dan saudara perempuan seibu.

Dalam pembahagian golongan ahli waris dan kedudukan mereka dalam pembahagian pusaka, kaum wanita ini tergolong dalam waris ashabul al-furud iaitu golongan yang ditetapkan jumlah harta pusaka. Terdapat juga beberapa orang di kalangan ahli-ahli waris ashabul al-furud ini menjadi asabah iaitu sama ada asabah pada dirinya sendiri atau dengan ditaksibkan. Mereka ialah anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu), saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa.

Dalam pembahagian harta pusaka, Islam menetapkan kadar pembahagian harta berdasarkan kepada keperluan dan tanggungjawab yang bakal dipikul oleh ahli waris. Oleh sebab itu nisbah yang diperolehi oleh para waris tidak semestinya sama rata. Beban dan tanggungjawab kaum lelaki dalam rumah tangga adalah lebih berat berbanding kaum wanita. Oleh kerana itu dalam pembahagian pusaka, kaum lelaki ditetapkan dengan kadar yang lebih banyak daripada kaum wanita. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa’ ayat 11 yang bermaksud;
“Bahagian seorang anak lelaki seperti dua bahagian perempuan”

Faraid seorang anak lelaki adalah sama dengan bahagian faraid dua anak perempuan. Faraid suami bersama anak si mati sebanyak 1/4, manakala faraid isteri dalam keadaan yang sama sebanyak 1/8 dan lain-lain. Prinsip ini menjelaskan bahawa, Islam mengakui golongan keluarga lelaki atau dikenali sebagai asabah memainkan peranan dan memikul tanggungjawab yang utama dalam keluarga.

Haji Abd Kadir Ismail dalam bukunya Sistem Pusaka Islam menyatakan bahawa Islam menjadikan bahagian wanita setengah dariapada bahagian lelaki yang setarap dengannya kerana dikehendaki oleh suatu hikmat. Ia sesuai dengan tugas lelaki dan perempuan dalam urusan dan perkara yang berkaitan dengan kehidupan kerana lelaki wajib bekerja, berusaha berpenat lelah untuk mencari rezeki dan mempertahankan keluarga dan tanah air. Lelaki juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya, keluarganya dan menanggung segala beban kebendaan dan kerohanian.

Sedangkan kaum wanita tidak begitu, kerana sebelum ia berkahwin, nafkahnya ditanggung oleh orang yang lebih hampir dengannya jika ia tidak mempunyai suami dan tidak dibebankan ke atas dirinya supaya ia menanggung nafkah dirinya. Sekiranya ia berkahwin, maka nafkahnya berpindah pula ke atas suaminya meskipun ia adalah seorang yang kaya. Sekiranya diceraikan, maka nafkahnya dipertanggungjawab kembali ke atas walinya.

Dalam sejarah sistem pusaka, sesungguhnya prinsip tersebut merupakan sifat pertengahan antara tiga sistem pusaka yang ekstrim. Pertama, sistem pusaka yang menegah wanita daripada menerima bahagian pusaka. Sistem ini dianuti oleh bangsa Greek purba, Hindu, Yahudi dan Romawi. Kedua, sistem pusaka yang terlalu memberi keistimewaan kepada kaum wanita. Sistem ini diamalkan oleh Adat Pepatih. Ketiga, sistem pusaka yang menyamakan habuan antara pewaris lelaki dan wanita. Sistem ini merupakan undang-undang pusaka moden yang diamalkan di kebanyakkan negara Eropah dan negara yang mengamalkan undang-undang sekular.

Bagaimanapun kadar yang ditetapkan dalam sistem pusaka Islam ini boleh berubah dan masih boleh diketepikan jika ada persetujuan dan kerelaan para ahli waris untuk memberi semua atau sebahagian harta pusaka kepada mana-mana satu pewaris yang patut diberi perhatian dan pembelaan. Pengecualiaan ini jelasnya adalah melihat kepada maslahah kaum wanita atau keluarga kedua-dua belah pihak.

Dalam sistem pusaka Islam, prinsip ini terkandung dalam peruntukan pengecualiaan pembahagian pusaka iaitu at-Takharuj. Prinsip ini ditakrifkan dengan penarikan diri daripada bahagian harta pusaka sama ada atas sebahagian atau kesemuanya dengan seorang atau beberapa ahli waris lainnya secara sukarela dan kepadanya dibayar ganti rugi kerana penarikan diri itu.

Dalam mengulas mengenai peruntukan pengecualiaan ini, Abd Rashid Abd Latif telah memberikan pengesahan dalam bukunya Hukum Pusaka Dalam Islam bahawa berpandukan kepada matlamat keadilan dalam pembahagian pusaka, maka dibolehkan untuk ahli-ahli waris yang berhak bertolak ansur atau mengenepikan sama sekali pembahagian menurut hukum pusaka atau bersetuju membahagikan mengikut cara yang lebih sesuai dalam keadaan harta yang ada dan keperluan masing-masing.

Bahkan menurut peraturan at-Takharuj atau penarikan diri dari harta pusaka adalah dibolehkan seseorang ahli waris itu untuk menarik diri sama ada dengan semua bahagiannya atau sebahagian daripadanya dalam harta pusaka sama ada penarikan diri iru disyaratkan dengan pembayaran ganti rugi kepadanya atau tidak.

Dalam pembahagian harta pusaka peraturan at-Takharuj boleh diandaikan seperti berikut; simati meninggalkan ahli waris berikut, isteri 1/8 (3/24), bapa 1/6 (4/24) dan anak lelaki 17/24 (baki). Dalam kes ini bapa bersetuju menarik diri dengan menyerahkan harta pusaka miliknya kepada isteri. Setelah dibahagikan semua bahagian harta pusaka maka faraid bapa sebanyak 4/24 diberikan kepada isteri dan dengan itu bahagiannya berjumlah 7/24.

Kesimpulannya kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kedudukan wanita dalam pewarisan harta pusaka. Kini dalam keadaan apa jua pun mereka yang berhak akan mendapat bahagian harta pusaka. Bagaimanapun kadar yang diperolehi oleh pewaris wanita tidaklah sama dengan pewaris lelaki. Prinsip ini ditetapkan oleh Islam berdasarkan tanggungjawab dan beban kaum lelaki lebih berat daripada kaum wanita. Namun dalam keadaan tertentu melihat kepada maslahah kaum wanita dan ahli keluarga yang lain, kadar ini boleh diketepikan mengikut peruntukan pengecualian at-Takharuj.-Zulkifli Ahmad

Sila lawat catatan menulis dan menerbit buku dalam zulmediablog.

(Artikel ini pertama kali disiarkan dalam majalah al-Muslimah, Disember 1988, disiarkan semula untuk rujukan)

Wednesday, May 16, 2007

Bermazhab Sebagai Keselesaan Beragama

Persoalan taklid kepada mazhab seringkali dibincang dan didebatkan, sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang, walaupun persoalan tersebut telah pun selesai.
Namun yang mendukacitakan di sekitar perbahasan mengenainya ialah apabila sering terbawa-bawa dengan emosional dan prejudis. Sewajarnyalah jika ingin dikerobek kembali persoalan mazhab ini sebaik-baiknya berbincanglah secara ilmiah, berlapang dada dan bersedia menerima pandangan orang lain bukannya dengan cara mengecam, menuduh dan mencemuh pihak-pihak lain yang tidak sealiran dan sependapat dengan kita.
Atau lebih baik jangan digali dan dikerobek balik kerana ia adalah perkara khilafiah yang mana masing-masing pihak ada hujah dan pendapat mereka sendiri. Dalam hal ini umat Islam tidak sepatutnya didedahkan dengan perkara khilafiah yang tidak mungkin dapat dicapai kata sepakat dan sekata, kerana ia akan membawa fitnah. Fitnah ini adalah suatu perkara yang sangat merbahaya sehingga para ulama menganggap bahawa "fitnah itu sedang tidur, maka celakalah bagi orang yang mengejutkannya".
Perbincangan mengenai mazhab dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dikategori dan diklaskan oleh para ulama kepada bidang fiqh mazhab. Suatu cabang ilmu yang membicarakan perselisihan pendapat mengenai pentafsiran sesuatu nas dan kaedah-kaedah memahami nas sehinggalah lahir mazhab fiqh.
Dalam syariat Islam hukum-hukum fikah semuanya berdasarkan kepada empat sumber iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan Qias(ijtihad). Di sini hukum-hukum yang dikeluarkan oleh keempat-empat sumber tersebut yang menimbulkan masalah ialah sumber keempat iaitu ijtihad. Dari sinilah timbulnya Fiqh Mazhab.
Oleh kerana syariat Islam mengharuskan malah menggalakkan ijtihad maka lahirlah ahli-ahli ijtihad yang berwibawa bukan sahaja di zaman Tabie malah sudah pun ada mutjahid di zaman rasulullah s.a.w. seperti sahabat-sahabat besar yang semuanya direstui oleh Rasulullah s.a.w. Namun mujtahid zaman ini tidak begitu ketara kerana adanya Rasulullah s.a.w. yang menjadi sumber utama hukum Islam.
Selepas wafat Rasulullah s.a.w. maka peranan mujtahid mula ketara, lebih-lebih lagi di sekitar akhir abad pertama hijrah lahir tokoh-tokoh seperti Imam Hanafi, al-Syaibani, Mohammad bin Hassan dan lain-lain. Berikutnya lahir pula Imam Maliki, Syafie, Ahmad bin Hanbal dan sebagainya.
Semua mereka adalah tokoh-tokoh yang mampu menyelesaikan masalah umat khususnya dalam masalah fqh harian (hukum-hukum harian). Mereka bukan sahaja mampu memahami al-Quran dan Sunnah malah mampu menanggapi dan memahami kaedah-kaedah usul fiqh, tafsir al-Quran, ulum al-Quran dengan keilmuan mereka yang tinggi bagi memudahkan generasi kemudian memahami hukum-hukum Islam untuk beramal dengan fiqh harian.
Timbul persoalan di sini, perlukan umat Islam hari ini terikat dengan sebarang mazhab? Dalam hal ini kita perlu memahami bahawa kita berada dalam zaman taqlid. Perumpamaannya bolehlah diibaratkan dengan kehidupan manusia, iaitu manusia tidak boleh hidup sempurna tanpa ada air sebagai bahan yang sangat penting.
Maka bolehlah diibaratkan keselesaan beragama pada hari ini tidak akan wujud melainkan bermazhab kecuali jika ada seseorang yang telah sampai ke tahap mujtahid mutlak dan berwibawa seperti imam-imam mazhab.
Mazhab yang ada sekarang seperti air bersih yang dialirkan dari sebuah gunung yang tinggi melalui saluran yang dipasang khusus menuju ke rumah-rumah kediaman pengguna setelah melalui tapisan dan jaminan bersih.
Air itu kemudian disalurkan ke merata-rata tempat untuk diminum dan ianya ditanggung bersih. Penghuni rumah yang memerlukan air tidak perlu pergi ke gunung malah dengan membuka sahaja paip air di rumah, air bersih dari gunung mengalir ke dalam cawan sedia untuk diminum.
Sekiranya diragui kebersihan dan kemudahan air tersebut lalu berhasrat untuk memanjat gunung kerana hendak mengambil air asli atau meragui kesucian dan ketulinan air yang dibekalkan melalui paip, maka silakanlah, asalkan tidak mendatangkan bahaya kepada diri dan tersesat jalan.
Hal ini samalah dengan al-Quran. Ia memerlukan seseorang yang mempunyai keilmuan yang sangat tinggi untuk memahami dan mengeluarkan hukum daripadanya. Bukan semua manusia dikurniakan Allah s.w.t. keilmuan yang tinggi. Hanya sebahagian sahaja manusia mendapat kuniaan ini. Maka hukum-hukum fiqh yang diulas, ditafsir, diijtihad dan dikeluarkan oleh mereka samalah dengan air bersih yang dibawa turun oleh jurutera.
Bagi hukum ijtihad, ulama-ulama besar menyusun kaedah-kaedah tertentu dengan rapi daripada al-Quran dan Sunnah. Apabila sampai keperluan untuk berijtihad, mereka akan berijtihad mengikut kaedah tersebut.
Setelah diuji dan dikaji hukum itu lalu disalin melalui kitab-kitab mereka yang keseluruhannya bersih daripada keraguan hukum. Kitab-kitab itu telah pun sampai ke rumah umat Islam. Apabila diperlukan sebarang hukum, maka bolehlah dibuka kitab-kitab itu kerana kandungan hukum-hukum agama di dalamnya telah melalui penapisan yang jitu yang diambil daripada al-Quran dan Sunnah.
Sesungguhnya tiada satu pun nas dalam al-Quran maupun Sunnah yang mewajibkan umat Islam berpegang kepada kepada sesuatu mazhab tertentu. Namun nampaknya jalan bermazhab adalah jalan umat Islam kini. Rata-rata seluruh dunia Islam ada ketentuan mazhab dan ianya menjadi satu trend amalan umum.
Trend ini diakui oleh seluruh umat sebagai satu trend yang betul dan ianya merupakan seolah-olah ijmak bagi zaman ini. Dalam bermazhab kini diistilahkan sebagai “Sabil al-Mukminin” (jalan orang-orang mukmin). Jika ianya sabit maka hukumnya adalah lebih berat kepada wajib diikuti berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud;

“Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang mukmin, Kami biarkan ia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam dan jahannam itu seburuk-buruk” (Surah an-Nisa’ ayat 115).

Masalah Badan Pentadbiran Islam Negeri Perlis yang dikatakan tidak terikat dengan mana-mana mazhab atau tegasnya tidak bermazhab seperti yang diamalkan di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah dipertikaikan dan agak sukar diterima.Seseorang umat Islam atau Badan Pentadbiran Agama di zaman taqlid ini adalah sangat sukar malah boleh dikatakan agak mustahil untuk mengelakkan daripada mengikut mazhab empat (Sunni) dan Syiah.Andai kata seseorang itu mampu melepaskan diri daripada taqlid kepada mazhab bermakna ia telah mampu berijtihad sendiri. Maka di sini dengan sendirinya ia telah mencipta mazhab baru berdasarkan pendapatnya dan orang-orang yang sealiran dengannya.
Namun setakat ini tidak ada ulama yang pernah mendakwa menjadi mujtahid mutlak dan diterima mengikut disiplin keilmuan mujtahid mutlak.Cuma apa yang mampu dilakukan oleh ulama-ulama kini ialah berijtihad dalam lingkungan mazhab tertentu dan menganjurkan talfiq iaitu mencampuradukkan hukum-hukum fikah dari berbagai mazhab tanpa mengkhususkan kepada mazhab tertentu dalam berbagai-bagai masalah hukum.
Inilah fenomena yang berlaku di kalangan umat Islam kini dan inilah juga yang berlaku di negeri Perlis. Dr. Harun Din bekas profesor di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM menjelaskan bahawa umat Islam di negeri Perlis dan Badan Pentadbiran Agamanya bukannya tidak bermazhab tetapi mereka berpegang kepada hukum-hukum mazhab empat yang telah ditalfiqkan. Contohnya amalan tidak membaca qunut dalam solat Subuh adalah amalan mazhab Hanafi.Cuma yang menjadi persoalannya di sini ialah adakah talfiq yang dilakukan oleh Badan Pentadbiran Islam Negeri Perlis diterima oleh Islam? - Zulkifli Ahmad.

Sila lawat catatan menulis dan menerbit buku dalam zulmediablog.
(Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Harakah bertarikh 8 Julai 1988, diedit dan disiar semula untuk rujukan)

Monday, May 14, 2007

PERTUBUHAN BELIA SEBAGAI SAYAP PARTI PEMERINTAH

Pertubuhan belia lazimnya dihubungkaitkan dengan agen proses perubahan masyarakat. Penglibatan dan peranan termasuk berupa gerakan agama, politik dan sumbangan tenaga produktif ekonomi yang mereka ceburi membuktikan betapa besarnya pengaruh golongan ini dalam masyarakat.
Bagaimanapun terdapat pertubuhan belia yang mewakili sebahagian besar generasi muda tidak mempunyai sikap dan matlamat yang jelas. Potensi yang ada tidak digunakan untuk mengembeling tenaga belia sebagai suatu kuasa dan agen menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Masing-masing mempunyai keutamaan matlamat perjuangan yang tidak melambangkan pertubuhan belia. Mereka terlalu condong dan akur kepada kerajaan, malah menjadi penyambung dasar dan hasrat kerajaan.
Umpamanya untuk mengukuhkan kekuasaan nazisme di Jerman, memantapkan ideologi komunisme di Rusia dan isme Zionisme Yahudi, golongan belia merupakan tenaga penggerak utama. Di Malaysia pertubuhan belia 4B dan MAYC boleh digolongkan dalam kategori ini.
Belia 4B dan MAYC adalah sinonim. Mereka adalah pro pemerintah dan akan akur kepada apa sahaja yang dilakukan oleh pemerintah dan tidak mungkin akan berpendirian atau bersifat kritis.
Sesungguhnya apabila mengkaji dan memperihalkan Gerakan Belia 4B dan MAYC, penampilan peranan dan sumbangan kerajaan tidak dapat dielakkan malah amat menonjol. Ianya berlaku di semua peringkat sama ada di peringkat penubuhan hinggalah di peringkat untuk menggerakkan aktiviti.
Dari segi penubuhan, kerajaanlah yang memainkan peranan utama dalam menggalak, menganjur dan menubuhkan kedua-dua organisasi ini. Belia MAYC ditubuhkan pada tahun 1954. Kerajaan kolonial menubuhkannya kerana khuatir dan bimbang terhadap kemungkinan belia dipengaruhi oleh fahaman komunis. Bagi Belia 4B pula, penubuhannya pada tahun 1966 untuk mengatasi masalah kemunduran golongan belia luar bandar dalam menyertai rancangan dan arus pembangunan sosio-ekonomi di zaman pasca kemerdekaan.
Untuk mengurus dan menggerakkan aktiviti, kerajaan dan agensinya sentiasa bersedia menyumbangkam bantuan dan kemudahan termasuklah sumbangan kewangan dan kemudahan asas yang lain. Umpamanya untuk tujuan menguruskan pentadbiran Belia MAYC, sejak tahun 1973, kerajaan melalui Kementerian Kebudayan Belia dan Sukan (sekarang Kementerian Belia dan Sukan) menyumbang pelbagai bantuan kewangan dan kemudahan infrastruktur.
Dari segi keahlian, sungguhpun keahliannya terbuka kepada semua kaum, tetapi dewasa ini majoriti ahlinya terdiri daripada belia-belia Melayu. Mengikut perangkaan rasmi KBS tahun 1986, keahlian Belia 4B dan MAYC adalah teramai sekali jika dibandingkan dengan persatuan belia lain.
Dari 1.5 juta belia yang menganggotai pertubuhan belia di negara ini, sejumlah 461,233 belia adalah ahlinya. Penumpuan ini dipercayai hasil daripada kempen-kempen kerajaan.
Dari segi aktiviti, kecenderungan utama Belia 4B dan MAYC di tahun-tahun 60an adalah kepada kegiatan yang bercorak kesenian dan kebudayaan. Namun berdasarkan kepada lapuran mesyuarat agung tahunannya, dewasa ini terutamanya selepas kerajaan melancarkan dasar ekonomi baru (DEB) kecenderungan itu telah berubah kepada kegiatan di bidang perdagangan dan perniagaan, umpamanya koperasi Shamelin, Syarikat Nur Harapan, Maycee Air Transport, Segemal 4B, perniagaan sewa-menyewa bilik pejabat, perusahaan lombong bijih dan lain-lain.
Tidak dinafikan aktiviti keagamaan juga mendapat perhatian. Akhir-akhir ini sebagai menyahut seruan penerapan nilai-nilai Islam kerajaan pimpinan Dr. Mahathir (sekarang Islam Hadhari pimpinan Abdullah Ahmad Badawi) banyak program agama yang dijalankan. Contohnya Seminar dan Khemah Kerja Keislaman, Musabaqah Membaca al-Quran, Kuiz Agama, Pertandingan Nasyid, ceramah dan kelas-kelas agama.
Suatu aspek penting yang mendasari Belia 4B dan MAYC ialah hubungan dua hala dengan pemerintah. Sungguhpun konsep kesukarelaan merupakan ciri utama gerakan belia ini, namun sebagai pertubuhan belia yang ditubuhkan dan mendapat bantuan dan sokongan daripada kerajaan tentulah menjadi harapan kerajaan supaya ia menjadi saluran bagi memenuhi dan menjayakan hasrat dan dasar kerajaan.
Oleh kerana itu dalam menghadapi dasar-dasar kerajaan , Belia 4B dan MAYC tidak mungkin bersifat kritis dan analitis, sebaliknya mereka akan menyokong dan mempertahankan dasar-dasar dan hasrat kerajaan. Sebagai contoh Belia 4B dari Majlis Belia Malaysia(MBM) pada tahun 1974 kerana membantah penglibatan pimpinan MBM dalam demontrasi Baling.
Bagi kerajaan, Belia 4B dan MAYC bukan sahaja menjadi saluran untuk menjaya dan mempertahankan dasar-dasarnya, tetapi digunakan sebagai tempat latihan para pemimpin parti kerajaan. Ini tergambar dalam struktur organisasi kepimpinan pertubuhan belia berkenaan. Penaung, penasihat dan pemimpin-pemimpin belia ini sama ada diperingkat pusat, negeri dan daerah umumnya adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik parti pemerintah.
Sarjana Sains Sosial, Dr. Hussein Muhammad dalam bukunya Gerakan Belia di Malaysia mengakui kelangsungan ini. Lebih jauh beliau menyatakan organisasi belia seperti Belia 4B dan MAYC merupakan training ground (tempat latihan) atau stepping stone (batu loncatan) bagi memperluaskan pengaruh dan latihan berpolitik seseorang, ataupun organisasi belia digunakan sebagai alat dan kumpulan bagi seseorang pemimpin muda dalam mengukuhkan kedudukan, imej peribadi serta mencari pengikut untuk mereka terpilih sebagai pemimpin kemudiannya.
Keterangan mengenai hubungan ini dapat dijelaskan dengan penglibatan bekas dan tokoh-tokoh yang masih lagi memimpin belia 4B dan MAYC dalam politik UMNO. Daripada Belia 4B umpamanya Haji Suhaimi Datuk Haji Kamaruddin, Muhammad Rahmat, Tajul Rosli Tan Sri Ghazali, Abu Bakar Daud dan Mohd Isa Abd.Samad. Daripada MAYC umpamanya Sanusi Junid, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Rastom Hj. Ahmad Mahir dan Ramli Ngah Talib. - Zulkifli Ahmad.

Sila lawat catatan menulis dan menerbit buku dalam zulmediablog.
(Artikel ini adalah disaring daripada Tesis yang bertajuk "Organisasi Gerakan Belia PKBM/MAYC dan 4B Malaysia: Pendekatan Pemahaman Islam Kepada Belia, Satu Kajian Perbandingan" yang dikemukakan kepada Jabatan Usuluddin dan Falsafah UKM bagi memperolehi Ijazah Sarjana Muda. Diterbitkan oleh Harakah 2 Disember 1988)