Wednesday, May 16, 2007

Bermazhab Sebagai Keselesaan Beragama

Persoalan taklid kepada mazhab seringkali dibincang dan didebatkan, sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang, walaupun persoalan tersebut telah pun selesai.
Namun yang mendukacitakan di sekitar perbahasan mengenainya ialah apabila sering terbawa-bawa dengan emosional dan prejudis. Sewajarnyalah jika ingin dikerobek kembali persoalan mazhab ini sebaik-baiknya berbincanglah secara ilmiah, berlapang dada dan bersedia menerima pandangan orang lain bukannya dengan cara mengecam, menuduh dan mencemuh pihak-pihak lain yang tidak sealiran dan sependapat dengan kita.
Atau lebih baik jangan digali dan dikerobek balik kerana ia adalah perkara khilafiah yang mana masing-masing pihak ada hujah dan pendapat mereka sendiri. Dalam hal ini umat Islam tidak sepatutnya didedahkan dengan perkara khilafiah yang tidak mungkin dapat dicapai kata sepakat dan sekata, kerana ia akan membawa fitnah. Fitnah ini adalah suatu perkara yang sangat merbahaya sehingga para ulama menganggap bahawa "fitnah itu sedang tidur, maka celakalah bagi orang yang mengejutkannya".
Perbincangan mengenai mazhab dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dikategori dan diklaskan oleh para ulama kepada bidang fiqh mazhab. Suatu cabang ilmu yang membicarakan perselisihan pendapat mengenai pentafsiran sesuatu nas dan kaedah-kaedah memahami nas sehinggalah lahir mazhab fiqh.
Dalam syariat Islam hukum-hukum fikah semuanya berdasarkan kepada empat sumber iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak dan Qias(ijtihad). Di sini hukum-hukum yang dikeluarkan oleh keempat-empat sumber tersebut yang menimbulkan masalah ialah sumber keempat iaitu ijtihad. Dari sinilah timbulnya Fiqh Mazhab.
Oleh kerana syariat Islam mengharuskan malah menggalakkan ijtihad maka lahirlah ahli-ahli ijtihad yang berwibawa bukan sahaja di zaman Tabie malah sudah pun ada mutjahid di zaman rasulullah s.a.w. seperti sahabat-sahabat besar yang semuanya direstui oleh Rasulullah s.a.w. Namun mujtahid zaman ini tidak begitu ketara kerana adanya Rasulullah s.a.w. yang menjadi sumber utama hukum Islam.
Selepas wafat Rasulullah s.a.w. maka peranan mujtahid mula ketara, lebih-lebih lagi di sekitar akhir abad pertama hijrah lahir tokoh-tokoh seperti Imam Hanafi, al-Syaibani, Mohammad bin Hassan dan lain-lain. Berikutnya lahir pula Imam Maliki, Syafie, Ahmad bin Hanbal dan sebagainya.
Semua mereka adalah tokoh-tokoh yang mampu menyelesaikan masalah umat khususnya dalam masalah fqh harian (hukum-hukum harian). Mereka bukan sahaja mampu memahami al-Quran dan Sunnah malah mampu menanggapi dan memahami kaedah-kaedah usul fiqh, tafsir al-Quran, ulum al-Quran dengan keilmuan mereka yang tinggi bagi memudahkan generasi kemudian memahami hukum-hukum Islam untuk beramal dengan fiqh harian.
Timbul persoalan di sini, perlukan umat Islam hari ini terikat dengan sebarang mazhab? Dalam hal ini kita perlu memahami bahawa kita berada dalam zaman taqlid. Perumpamaannya bolehlah diibaratkan dengan kehidupan manusia, iaitu manusia tidak boleh hidup sempurna tanpa ada air sebagai bahan yang sangat penting.
Maka bolehlah diibaratkan keselesaan beragama pada hari ini tidak akan wujud melainkan bermazhab kecuali jika ada seseorang yang telah sampai ke tahap mujtahid mutlak dan berwibawa seperti imam-imam mazhab.
Mazhab yang ada sekarang seperti air bersih yang dialirkan dari sebuah gunung yang tinggi melalui saluran yang dipasang khusus menuju ke rumah-rumah kediaman pengguna setelah melalui tapisan dan jaminan bersih.
Air itu kemudian disalurkan ke merata-rata tempat untuk diminum dan ianya ditanggung bersih. Penghuni rumah yang memerlukan air tidak perlu pergi ke gunung malah dengan membuka sahaja paip air di rumah, air bersih dari gunung mengalir ke dalam cawan sedia untuk diminum.
Sekiranya diragui kebersihan dan kemudahan air tersebut lalu berhasrat untuk memanjat gunung kerana hendak mengambil air asli atau meragui kesucian dan ketulinan air yang dibekalkan melalui paip, maka silakanlah, asalkan tidak mendatangkan bahaya kepada diri dan tersesat jalan.
Hal ini samalah dengan al-Quran. Ia memerlukan seseorang yang mempunyai keilmuan yang sangat tinggi untuk memahami dan mengeluarkan hukum daripadanya. Bukan semua manusia dikurniakan Allah s.w.t. keilmuan yang tinggi. Hanya sebahagian sahaja manusia mendapat kuniaan ini. Maka hukum-hukum fiqh yang diulas, ditafsir, diijtihad dan dikeluarkan oleh mereka samalah dengan air bersih yang dibawa turun oleh jurutera.
Bagi hukum ijtihad, ulama-ulama besar menyusun kaedah-kaedah tertentu dengan rapi daripada al-Quran dan Sunnah. Apabila sampai keperluan untuk berijtihad, mereka akan berijtihad mengikut kaedah tersebut.
Setelah diuji dan dikaji hukum itu lalu disalin melalui kitab-kitab mereka yang keseluruhannya bersih daripada keraguan hukum. Kitab-kitab itu telah pun sampai ke rumah umat Islam. Apabila diperlukan sebarang hukum, maka bolehlah dibuka kitab-kitab itu kerana kandungan hukum-hukum agama di dalamnya telah melalui penapisan yang jitu yang diambil daripada al-Quran dan Sunnah.
Sesungguhnya tiada satu pun nas dalam al-Quran maupun Sunnah yang mewajibkan umat Islam berpegang kepada kepada sesuatu mazhab tertentu. Namun nampaknya jalan bermazhab adalah jalan umat Islam kini. Rata-rata seluruh dunia Islam ada ketentuan mazhab dan ianya menjadi satu trend amalan umum.
Trend ini diakui oleh seluruh umat sebagai satu trend yang betul dan ianya merupakan seolah-olah ijmak bagi zaman ini. Dalam bermazhab kini diistilahkan sebagai “Sabil al-Mukminin” (jalan orang-orang mukmin). Jika ianya sabit maka hukumnya adalah lebih berat kepada wajib diikuti berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud;

“Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang mukmin, Kami biarkan ia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam dan jahannam itu seburuk-buruk” (Surah an-Nisa’ ayat 115).

Masalah Badan Pentadbiran Islam Negeri Perlis yang dikatakan tidak terikat dengan mana-mana mazhab atau tegasnya tidak bermazhab seperti yang diamalkan di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah dipertikaikan dan agak sukar diterima.Seseorang umat Islam atau Badan Pentadbiran Agama di zaman taqlid ini adalah sangat sukar malah boleh dikatakan agak mustahil untuk mengelakkan daripada mengikut mazhab empat (Sunni) dan Syiah.Andai kata seseorang itu mampu melepaskan diri daripada taqlid kepada mazhab bermakna ia telah mampu berijtihad sendiri. Maka di sini dengan sendirinya ia telah mencipta mazhab baru berdasarkan pendapatnya dan orang-orang yang sealiran dengannya.
Namun setakat ini tidak ada ulama yang pernah mendakwa menjadi mujtahid mutlak dan diterima mengikut disiplin keilmuan mujtahid mutlak.Cuma apa yang mampu dilakukan oleh ulama-ulama kini ialah berijtihad dalam lingkungan mazhab tertentu dan menganjurkan talfiq iaitu mencampuradukkan hukum-hukum fikah dari berbagai mazhab tanpa mengkhususkan kepada mazhab tertentu dalam berbagai-bagai masalah hukum.
Inilah fenomena yang berlaku di kalangan umat Islam kini dan inilah juga yang berlaku di negeri Perlis. Dr. Harun Din bekas profesor di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM menjelaskan bahawa umat Islam di negeri Perlis dan Badan Pentadbiran Agamanya bukannya tidak bermazhab tetapi mereka berpegang kepada hukum-hukum mazhab empat yang telah ditalfiqkan. Contohnya amalan tidak membaca qunut dalam solat Subuh adalah amalan mazhab Hanafi.Cuma yang menjadi persoalannya di sini ialah adakah talfiq yang dilakukan oleh Badan Pentadbiran Islam Negeri Perlis diterima oleh Islam? - Zulkifli Ahmad.

Sila lawat catatan menulis dan menerbit buku dalam zulmediablog.
(Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Harakah bertarikh 8 Julai 1988, diedit dan disiar semula untuk rujukan)

No comments: